16 Mar 2019 | Umum | 95 | |
Kira-kira 362 peserta telah menyertai program MAIDAM FUN RIDE 2019 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Majlis pelepasan telah dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) , Tn. Haji M. Rozi bin Haji Bidin pada jam 7.35 pagi di perkarangan Akademi Kulinari Terengganu (AKT) Pulau Kerengga, Marang Terengganu dan telah berakhir di lokasi yang sama.
Program kayuhan ini turut disertai oleh Yang Dipertua MAIDAM, YBhg. Dato’ Haji Osman bin Muda, Ketua Pegawai Eksekutif, Tn. Haji M. Rozi bin Haji Bidin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, En. Saidi bin Salleh @ Sulong dan Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat), En. Nazli Amirri bin Ngah. Program ini tidak terhad kepada kakitangan MAIDAM sahaja, bahkan dibuka umum kepada semua yang berminat menyertainya.
Antara tujuan program kayuhan tersebut diadakan adalah untuk menyemarakkan lagi syiar wakaf di Terengganu. Pendaftaran RM40.00 yang dikenakan kepada setiap peserta dimasukkan ke dalam Tabung Wakaf Tunai MAIDAM selari dengan matlamat “Berkayuh Sambil Berwakaf”.
Dalam perjalanan sejauh 40 kilometer itu, kayuhan berhenti rehat seketika di Kampung Taman Rahmat Marang. Yang Dipertua MAIDAM, YBhg. Dato’ Haji Osman bin Muda sempat menyampaikan bantuan kepada empat (4) orang asnaf di Kampung Taman Rahmat serta menyampaikan sumbangan untuk pembangunan Surau Kampung Taman Rahmat. Kayuhan berjaya ditamatkan oleh semua peserta kira-kira jam 11.15 pagi.
Dalam ucapan perasmian penutup, Yang Dipertua MAIDAM, YBhg. Dato’ Haji Osman bin Muda mengucapkan tahniah dan penghargaan buat pihak penganjur atas kejayaan penganjuran dan penyusunan program yang sangat baik. Tidak lupa juga kepada peserta-peserta yang berkorban masa dan tenaga serta memberikan sokongan, kerjasama yang baik sepanjang program berlangsung.